[ May 1, 2020 by Fatheen Deen 2 Comments ]

Perbezaan ASB dan ASBF

Assalamualaikum semua. Apakah perbezaan ASB dan ASBF? Ini adalah persoalan yang paling popular dan sering ditanya bila kita bercakap tentang ASB ataupun Amanah Saham Bumiputera. Kali ni saya nak terangkan apakah perbezaan ASB dan ASBF ataupun ASB Financing. Sebelum saya  teruskan, saya ingin tekankan iaitu kedua-duanya adalah pelaburan yang sangat baik dan bijak. Sangat rugi kalau kita tak memiliki salah satu daripadanya sebab kita akan mendapat keuntungan dari dividen tahunan yang ditawarkan.

Mari kita mulakan apakah perbezaan antara ASB dan ASB Financing.

Perbezaan antara ASB dan ASBF

Simpanan ASB adalah simpanan peribadi ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera sebagai satu produk pelaburan unit amanah di bawah ASNB. Wang simpanan yang kita laburkan akan menerima agihan dalam bentuk dividen pada penghujung tahun kewangan semasa. Jumlah dividen keseluruhan yang kita perolehi adalah berdasarkan jumlah semasa simpanan kita di dalam akaun ASB. Sebagai contoh, jika kita menyimpan RM818 setiap bulan selama setahun, kita akan mendapat dividen berdasarkan dari jumlah simpanan iaitu RM9,816.

Berbeza pula dengan ASBF ataupun ASB Financing, kita memperolehi dividen tahunan berdasarkan pembiayaan atau pinjaman yang dibuat dari bank. Kebiasaannya pelabur akan memohon pembiayaan dengan jumlah yang besar sehingga RM200,000 untuk mendapatkan pulangan dividen yang maksimum. Dengan hanya bermodalkan RM818 sebulan selama setahun, pelabur akan mendapat dividen penuh berdasarkan jumlah pelaburan iaitu sebanyak RM200,000.

Dengan jumlah pelaburan bulanan dan nilai dividen tahunan yang sama sebagai contoh dividen 5.5%, pelabur yang menyimpan di ASB simpanan biasa akan mendapat jumlah keuntungan dividen sebanyak RM293 dan jumlah keseluruhan iaitu RM10,109. Manakala pelabur yang menggunakan ASBF akan mendapat jumlah keuntungan dividen sebanyak RM11,000. Pelabur ASBF bukan sahaja meraih keuntungan dividen yang lebih tinggi, tetapi juga mempunyai keuntungan semasa dari surrender value iaitu sebanyak RM2,145. Jadi jumlah keuntungan dari pelaburan ASBF untuk contoh ini adalah RM13,145.

Kebaikan ASBF

1. Dividen berdasarkan pembiayaan

ASB Financing memberi peluang kepada kita untuk melabur ke dalam akaun ASB dengan jumlah yang besar tanpa memiliki nilai wang tersebut. Sebagai contoh sekiranya kita ingin berjaya menyimpan RM200,000, kita memerlukan jangka masa yang panjang. Tetapi dengan konsep ASB Financing kita mampu melabur dengan jumlah yang besar sehingga RM200,000 dengan bermodalkan bulanan yang rendah iaitu RM818 selama setahun. Ini akan membolehkan kita mengaut keuntungan dividen yang maksimum di atas pelaburan ASB Financing yang kita telah lakukan.

2. Surrender Value

Selain kita akan memperolehi keuntungan dari jumlah dividen, keuntungan ASB Financing juga diperolehi dari jualan semasa “surrender value” ataupun principal. Surrender value adalah keuntungan yang kita perolehi selepas menutup akaun ASB Financing dan ianya dikira berdasarkan nilai semasa pelaburan. Jadi lebih lama kita melabur di dalam ASB Financing, nilai surrender value atau principal kita akan menjadi lebih tinggi lagi.

Contoh :
ASBF 200,000
(Interest Rate 3.85%)
Surrender Value Tahunan

1 Tahun = RM2,145
3 Tahun = RM6,692
5 Tahun = RM11,601
10 Tahun = RM25,661

Oleh itu, kita digalakkan untuk membuat ASB Financing dalam tempoh 3 hingga 10 tahun.

3. Bumiputera

Pelaburan ASB atau ASB Financing ini adalah khusus buat bumiputera sahaja. Pelaburan ini sangat berguna dan mampu menjana keuntungan serta menaikkan taraf ekonomi bumiputera. Kadar dividen tahunan di ASB juga adalah diantara yang tertinggi jika dibandingkan dengan simpanan  di tempat lain. Oleh itu, rugi sekiranya kita tidak memanfaatkan peluang ini kerana ianya diwujudkan khusus untuk bumiputera.

4. Risiko Rendah

ASB adalah salah satu dalam unit amanah yang berisiko rendah. Ini adalah kerana ASB dikira berdasarkan nilai satu unit iaitu RM1. Nilai seunit ini adalah tetap sepanjang masa. Berbeza dengan unit amanah yang lain, nilai satu unitnya tidak tetap dan bergantung kepada pasaran semasa.

5. Tiada “Lock In Period”

Walaupun tempoh pembiayaan ASBF yang ditetapkan oleh bank boleh sehingga maksimum 40 tahun, tetapi kita boleh berhenti pada bila-bila masa saja. Berbeza dengan pinjaman peribadi, peminjam harus membayar jumlah keseluruhan pinjaman yang telah dilakukan. Manakala untuk ASBF pula, kita tidak perlu membayar jumlah keseluruhan pembiayaan, malahan kita memperolehi keuntungan dari pembiayaan tersebut.

Jadi begitulah perbezaan asas di antara ASB dan ASBF. ASB Financing ternyata mempunyai lebih banyak kebaikan dan keuntungan yang masih ramai lagi tidak tahu mengenainya. Apa-apapun kita harus pandai mengawal perbelanjaan dan mengembangkan kewangan kita ke saluran yang betul. Perancangan kewangan penting dan bermula dari awal. Saya doakan semua yang membaca artikel ini dimurahkan rezeki dan dilimpahkan kesihatan yang baik.

Comments [02]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *